Cara Perkenalkan Diri Semasa Temuduga PDRM

cikgu khairul temuduga polis
oleh Cikgu Khairul

Soalan cara perkenalkan diri semasa temuduga merupakan antara soalan popular ditanyakan ketika sesi temuduga. Jika panel temuduga bertanya, “Sila perkenalkan diri awak”, apakah agaknya anda nak jawab?

Sebenarnya, bukanlah panel temuduga itu nak tahu sangat pasal diri anda. Ini disebabkan butiran lengkap tentang diri anda sudah pun ada dalam resume.

Kenapa panel temuduga masih nak tanya sedangkan semua dah ada dalam resume? Anda dapat teka tak sebab tu? Apa ‘trick’ disebalik soalan perkenalkan diri semasa temuduga ini?

Kalau anda nak tahu, panel temuduga sebenarnya nak beri anda peluang untuk menunjukkan kemahiran komunikasi lisan.

Sebagai calon temuduga, anda perlu tonjolkan keupayaan anda untuk menyampaikan maklumat dengan jelas, ringkas, dan meyakinkan.

6 Cara Perkenalkan Diri Semasa Temuduga PDRM

Apa agaknya cara yang paling sesuai untuk memperkenalkan diri dalam sesi temuduga PDRM? Anda ada idea tak?

Secara asasnya, terdapat enam perkara perlu anda masukkan dalam skrip memperkenalkan diri semasa temuduga PDRM. Antaranya ialah:

  1. Ucap selamat pagi atau petang.
  2. Perkenalkan nama dan berasal dari mana.
  3. Ceritakan tentang kelulusan dalam bidang mana.
  4. Ceritakan status pendidikan. Adakah sudah bergradusi atau masih menunggu graduasi.
  5. Ceritakan tentang pengalaman kerja. Jika tiada, anda boleh berceritakan tentang pengalaman membuat latihan industri.
  6. Ceritakan tentang kebolehan anda. Kebolehan itu perlulah berkaitan dengan jawatan yang dipohon.

“Kalau saya tak ada pengalaman kerja pula macam mana? Apa saya nak ceritakan masa sesi temuduga nanti?”

Walaupun anda tak ada pengalaman kerja, anda masih boleh bercerita pasal pengalaman menjalani latihan industri.

Andaikata pengalaman industri pun anda tak ada, anda juga boleh bercerita pasal hobi anda. Sila pastikan anda boleh mengaitkan hobi anda dengan jawatan yang dipohon.

Skrip Penuh Jawapan Cara Perkenalkan Diri Semasa Temuduga PDRM

Di bawah ini pula merupakan contoh skrip cara perkenalkan diri semasa temuduga yang boleh anda praktiskan. 

Untuk skrip jawapan ini, saya menggunakan jawatan inspektor polis sebagai contoh. Anda boleh ubah skrip jawapan mengikut kesesuaian jawatan yang anda mohon.

Skrip jawapan:

Assalammualaikum dan selamat pagi, tuan. Nama saya Nurul Aminah binti Abdullah, berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Saya merupakan graduan sarjana muda dalam jurusan psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Saya telah berjaya menamatkan pengajian saya dengan keputusan yang cemerlang.

Saya telah bergraduasi dan sedang menunggu majlis konvokesyen yang akan diadakan pada bulan hadapan.

Sebelum ini, saya telah menjalani latihan industri di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebagai pembantu psikologi. 

Selama enam bulan, saya bertugas untuk membantu pakar psikologi dalam mengendalikan sesi kaunseling dan melakukan penilaian psikologi kepada pesakit.

Pengalaman tersebut telah mengasah kemahiran saya dalam memahami tingkah laku manusia, mendengar dengan empati, serta menguruskan situasi yang mencabar dengan tenang dan profesional.

Saya juga mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dan mampu berinteraksi dengan berbagai lapisan masyarakat.

Saya percaya, kebolehan dan pengalaman saya dalam bidang psikologi amat relevan untuk jawatan inspektor di PDRM, terutamanya dalam aspek siasatan dan interaksi dengan komuniti. 

Saya juga yakin akan dapat menyumbang secara positif kepada pasukan dan berkhidmat dengan integriti serta dedikasi.

Ada juga calon bertanya kepada saya, “Macam saya, tak ada pengalaman industri, macam mana saya nak jawab soalan memperkenalkan diri ini?”, tanya calon temuduga tu kepada saya.

Walaupun anda tak ada pengalaman industri sekalipun, anda masih lagi boleh menggunakan pengalaman kerja part-time anda untuk menjawab soalan ini.

Contohnya, anda bekerja part-time sebagai grabfood. Anda boleh ceritakan bagaimana pengalaman menghantar makanan ini boleh membantu anda untuk menjalankan tugas sebagai pegawai polis.

Di bawah ini contoh skrip jawapan yang boleh anda gunakan.

Skrip jawapan:

Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman kerja tetap sepanjang menunggu panggilan temuduga ini, saya telah mengambil inisiatif untuk bekerja secara part-time sebagai penghantar makanan GrabFood.

Melalui pekerjaan part-time ini, saya telah berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat dan menghadapi situasi yang mencabar. 

Saya belajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan efektif, menyelesaikan masalah dengan pantas, dan menguruskan masa dengan cekap.

Pengalaman ini memberi saya kefahaman yang lebih mendalam tentang pelbagai jenis perangai dan latar belakang pelanggan, yang saya yakin akan membantu saya dalam berinteraksi dengan masyarakat yang berbeza semasa menjalankan tugas sebagai anggota polis.

Walaupun kerja part-time saya berbeza dari bidang kepolisan, kemahiran yang saya perolehi sebagai penghantar makanan seperti komunikasi, penyelesaian masalah, dan pengurusan masa akan menjadi aset berharga dalam menjalankan tugas saya sebagai polis kelak.

“Kalau saya tak ada pengalaman kerja langsung pula macam mana, kerja part time pun tak pernah buat?”

Usah risau! Sebab anda boleh gunakan hobi anda dalam skrip memperkenalkan diri. Tapi kena pastikan hobi anda itu boleh membantu dalam tugasan polis nanti.

Skrip jawapan:

Sebagai seseorang yang baru sahaja menamatkan pengajian, saya tidak mempunyai pengalaman kerja tetap mahupun kerja part-time. Namun, saya sangat aktif dalam bermain catur dan aktiviti sukarelawan kebajikan masyarakat.

Bermain catur telah mengasah kemampuan saya dalam mengatur strategi, dan membuat keputusan di bawah tekanan. Manakala aktiviti sukarelawan memberi saya peluang untuk berinteraksi dengan berbagai lapisan masyarakat, dan bekerja dalam satu pasukan untuk mencapai matlamat bersama.

Saya percaya kedua-dua hobi ini telah membekalkan saya dengan kemahiran yang berharga seperti kemahiran analisis, kemahiran komunikasi yang berkesan, dan kemampuan untuk bekerjasama dengan orang lain dalam pelbagai situasi. 

Saya yakin kemahiran ini amat relevan untuk jawatan dalam Polis Diraja Malaysia.

Soalan Temuduga Polis + Skrip Jawapan.

Ada banyak lagi soalan dan skrip jawapan seperti ini dalam ebook Temuduga Polis. Setiap skrip jawapan dalam ebook ini ditulis berdasarkan kepada personaliti anggota polis yang sebenar.

Sila klik butang di bawah untuk download ebook.

Ps.. Anda masih ada pertanyaan tentang cara memperkenalkan diri semasa temuduga PDRM? Sila tinggalkan soalan di bawah ini. Dengan sepantas kilat saya akan menjawab pertanyaan itu.

4 thoughts on “Cara Perkenalkan Diri Semasa Temuduga PDRM”

  1. Jika sy pernh ikut kadet polis spnjang skolah sy ..dn pernh wakil mengikuti kawad kaki d peringkat negeri..dn pernh juga ikut perkemahan kadet polis peringkat negeri apa yg sesuai sy nak terangkan dlm temuduga itu.mohon bntuan Kerna sy sgt meminati kerja polis ni.dn ni mmg cita2 saya sejak d sekolah rendah.hnya kerna mgkin sy x berapa lulus dlm peperiksann ,hnya lulus sahaja.

    1. Kena pastikan karakter diri mencerminkan karakter seorang anggota polis dulu. Sebab dalam sesi temuduga nanti, perkara pertama panel akan nilai ialah karakter diri calon, bukan tahap minat calon. Minat tu sekadar bonus sahaja. Jika karakter diri sesuai, barulah minat akan menjadi added value dalam sesi temuduga.

Leave a Reply to Liesbabara Cancel Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site is protected by reCAPTCHA and the Google Privacy Policy and Terms of Service apply.

The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

Scroll to Top